JAKARTA: Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam nahas di sebuah lebuh raya di Karawang, Jawa Barat pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Ketua Polis Trafik, Inspektor Jeneral Aan Suhanan berkata nahas itu berlaku di Kilometer 58 Jalan Bertol Jakarta-Cikampek melibatkan sebuah bas, sebuah van mini dan sebuah kenderaan pelbagai guna.

"Siasatan mengenai punca kemalangan ngeri ini masih lagi berjalan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pasukan Siasatan Mangsa Bencana telah ditugaskan untuk mengenal pasti mayat mangsa di Hospital Karawang.

Siasatan awal mendapati van mini dari Jakarta melalui laluan kontra mengalami masalah mekanikal sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan dan terbakar.

Kemudian, sebuah kenderaan pelbagai guna berlanggar dengan van mini yang terbakar di hadapannya dan memarakkan lagi kebakaran, menurut jurucakap Polis Jawa Barat Pesuruhjaya Jules Abraham.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang 16 kilometer di waktu orang ramai sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

-- BERNAMA